Apa sumbangan untuk negara?
ISHAK MOHAMAD
Alor Gajah, Melaka
Petikan dari ruangan Forum Utusan Malaysia, 18 Okt.2011
SETIAP kali sebelum belanjawan negara dibentang, ia sentiasa menjadi tumpuan rakyat. Pelbagai cadangan akan dikemukakan. Sebelum pembentangan pelbagai pihak melalui persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meluahkan harapan dan permintaan tertentu dalam belanjawan yang akan dibentangkan.
Bajet 2012 yang baru dibentangkan ternyata memberi tumpuan kepada rakyat. Pelbagai golongan masyarakat mendapat manfaat, sehinggakan pesara pun tidak dilupakan.
Namun dalam keghairahan kita berharap serta minta itu dan ini, mungkin ada baik kalau kita bertanya: "Sebagai warganegara, apakah sumbangan kita kepada negara?"
Rasanya mungkin tidaklah berlebihan, selepas berharap segala macam, elok juga kita sesekali bertanya, apakah yang selama ini telah kita beri kepada negara? Sebenarnya saya mahu menuliskan: "Apakah pengorbanan kita kepada negara?" Tetapi rasanya menyebut pengorbanan itu tersangatlah besar maknanya dan mungkin tak terjangkau.
Kita semua melihat, hanya barangkali kita tidak sedar. Misalnya, rakyat minta kawasan perumahan. Satu demi satu tumbuh, sehingga taman perumahan lebih banyak daripada taman bunga.
Tetapi sebenarnya bersyukurkah kita? Longkang tersumbat depan rumah kita, panggil pihak berkuasa tempatan (PBT) kaut sampah. Taman perumahan selekeh, panggil PBT buat gotong-royong.
Yang ramai hadir gotong-royong adalah pekerja-pekerja majlis, pekerja syarikat pembersihan, anggota bomba, kakitangan Jabatan Kesihatan dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR). Bila dikira satu persatu, ternyata yang ramai adalah pekerja-pekerja bergaji ini. Orang taman atau orang kampung itu sendiri, ada masa tak sampai pun 20 peratus daripada jumlah pekerja-pekerja bergaji ini yang dalam bidang tugas mereka tak ada dicatat pun klause perlu hadir dalam gotong-royong taman perumahan atau kampung.
Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Semangat gotong-royong semakin pudar! Jadi apa yang kita beri untuk negara, selain hanya meminta-minta?
Bila ramai sedikit anggota komuniti, minta pula balai raya. Kerajaan yang tradisinya membela rakyat memenuhi permintaan. Balai raya pun tersergam. Jangankan kita ramai-ramai berpakat nenanam bunga bagi mengindahkan balai raya, menyapu sampah atau membersihkannya sebulan sekali pun mungkin jauh sekali. Belum lagi yang digunakan untuk buat ceramah kutuk mengutuk!
Saya tidak bermaksud semua kita bersikap begini. Ada juga yang bertanggungjawab dan tahu menghargai pemberian kerajaan. Tetapi ibarat sepadang kambing, biasanya lebih banyak yang hitam daripada yang putih.
Ini belum lagi kita sebut mengenai rizab jalan di depan rumah. Kalau rajin kontraktor majlis, paling tidak sebulan sekali pasti rumput dipotong. Kalau tidak tunggulah kontraktor datang potong walau lalang setinggi lutut, walau mata semak memandang.
Amat bertuah kita jadi rakyat Malaysia. Segala serba-serbi adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan atau kerajaan. Bila ditegur atau dinasihat, jawabnya: "Semua ini bukan kerja kita. Bukankah kita bayar cukai, cukai pintu?", tanpa sesekali kita fikir berapalah sangat cukai yang kita bayar?
Lebih menakutkan lagi apabila orang-orang yang bertanggungjawab dalam pertubuhan, komuniti atau orang-orang politik tidak berani menegur sikap komuniti yang tidak sewajarnya ini? Kenapa? Sebab kita pun sama?
Dalam kita masih menokok tambah perlu itu dan ini dalam belanjawan yang baharu sahaja dibentangkan di Parlimen, sesekali elok kita cubit diri. Patut-patutlah!
Apakah sumbangan anda kepada negara? Saya sekadar menyebut peranan membersih longkang dan rumah kita sendiri. Sebenarnya banyak yang boleh kita sumbangkan kepada negara jika kita ikhlas dan sanggup berkorban untuk negara kerana Allah SWT. Kawasan dpn rumah sdiri nak berkira..Padahal situlaah anak2 kita main, kalau nak kena Denggi nak salah PBT tak buat fogging jugak?
** Ini bukan entri auta/ bodek/ sokong mana2....